Skip to main content

Sifat Ingin Tahu Tanda Anak Pintar




Seronok kita melihat seorang anak kecil merangkak-rangkak dan memberi tumpuan kepada seekor semut yang sedang mengangkat cebisan makanan yang jauh lebih besar daripada saiz badannya. Seorang anak kecil boleh berlama-lamaan merenung seekor siput yang sedang bergerak lembap melintasi jalan. Ini menjadi tarikan kepada seorang anak kecil.

Apa yang sedang mereka lakukan? Mereka sedang belajar dan mempunyai sifat ingin tahu. Situasi ini kadang-kadang menyebabkan anda sendiri rasa tidak selesa sedangkan anda sedang mengejar masa dan tergopoh-gapah hendak keluar rumah untuk pergi bekerja dan sebelum itu mahu menghantar mereka ke rumah pengasuh.

Bagi seorang anak kecil pergerakan seekor semut dan seekor siput lebih penting dari pergerakan anda mahu keluar rumah dan memanggil nama anak kecil itu berkali-kali.

Apa yang patut anda sedar dan lakukan apabila situasi ini berlaku?
Baik, sekarang Tarik nafas perlahan-lahan dan ingatkan diri anda bahawa anak kecil mempunyai sifat ingin tahu yang mendalam. Bagi mereka dunia ini adalah perkara baru. Jadi anak perlu berikan peluang kepada mereka untuk mengembara dalam dunia yang sungguh indah ini.

Bagaimana caranya?

Tugas Harian sebagai satu pengembaraan.

Wah, seronoknya. Kongsikan kepada anak kecil apa yang anda lakukan pada setiap hari. Apabila anda mahu hantar barangan terpakai ke pusat kitar semula yang berdekatan, jangan lupa membawa anak anda, bagi mereka ini peluang untuk  membelek-belek bekas telur, botol kosong dan majalah lama. Minta bantuan anak kecil memasukkan barang terpakai ke dalam kotak dan minta mereka angkat kotak-kotak yang ringan.

Hari itu mendung. Nampaknya hujan sudah turun. Jangan batalkan niat anda. Pakaikan pakaian hujan dan berjalan dalam hujan. Tentu sahaja anak kecil itu akan berjalan dengan gembira, memijak lopak air, merasai dengan tangan air hujan yang turun dan rasa tempias air singgah ke muka.

Anda juga boleh mengoyangkan-goyangkan dahan pokok agar air yang terperangkap dalam daun akan jatuh ke bumi. Tunjukkan cara kepada anak kecil bagaimana menakung air hujan menggunakan tapak tangannya dan biar dia bermain dengan air itu.

Oh jika dia berlarian dan bekejaran atau memusing-musingkan tangan lalu terjatuh. Biarkan dia bangun sendiri atau benarkan anak kecil itu bermain dengan tanah yang lembik. Tentu sahaja cepat tangannya cuba membersihkan seluarnya yang kotor. Kemudian tanah lembik itu akan di tepuk-tepuk dengan penuh kegembiraan. Kemudian pulang ke rumah, bersihkan diri dan sediakanlah minuman coklat dan kentang lecek untuk menunya petang itu.

Setiap minggu bawa anak anda melalui aktiviti  untuk meningkatkan jiwa pengembaraan dalam dirinya. Benarkan mereka melalui perjalanan yang kecil sebagai satu pengembaraan.

Apa persediaan untuk mengembara? Pakaikan pakaian yang sesuai meneroka, topi ahli bombda dan bawa lampu suluh. Sediakan beg sandang dan masukkan makanan ringan, alatan permainan, haiwan mainan dan anak patung sebagai rakan pengembaraan.

“Saya tiada masa untuk beraktiviti dengan anak saya” Ujar seorang ibu yang bekerja dan mempunyai masa yang terhad. Jangan bimbang, ambil peluang ketika memandikan anak dengan membiarkan mereka mandi dalam besen yang besar dan buat gelora air dengan menggunakan tangan kita. Caranya tepuk air dengan kuat dan berulang kali dan keluarkan suara kita seperti gelora laut dan taufan.

Atau ketika menyediakan makan malam, ajak anak kecil sama-sama menyediakan seperti dalam rancangan masakan dan berikan mereka peluang memegang alatan memasak yang ringan dan tidak berbahaya.

Biarkan masa berlalu dan bersedia untuk bersabar.

Anak kecil yang sedang memberi focus kepada sesuatu perkara yang diminatinya menyebabkan dia seolah-olah melamun dan merenung. Waktu ini fokusnya hanya kepada perkara itu sahaja. Oleh itu berilah anak anda sedikit masa untuk menghabiskan apa yang mereka mahu tahu.

Apabila mereka melihat serangga halus yang sedang berjalan atau cacing yang sedang merayap, kita cipta satu cerita seolah-olah bercakap dengan serangga itu.
Tanyakan soalan kepada serangga itu.

“Kamu datang dari mana dan mahu kemana?”
“Kamu tinggal dimana dan makan apa”

Bercakaplah sehingga anak anda akan mengulang ayat percakapan itu dan biar mereka sedar, serangga itu juga mempunyai tempat tinggal, perlu makan dan tidak boleh diganggu seperti manusia.

Anda boleh juga menangkap serangga itu dan masukkan ke dalam botol dan biarkan anak anda bermain, bercakap dan kemudian ajar mereka untuk bebaskan serangga itu.

Minat anak kecil ini sungguh unik, mereka suka melihat serangga halus, haiwan kecil, haiwan besar dan mereka sendiri akan dapat membezakan haiwan mana yang lebih besar dan lebih kuat.

Apabila berpeluang melawat ke Zoo, biarkan anak anda melihat semua haiwan.Kadang-kadang anda menunjukkan seekor unta yang besar, sedangkan dia sedang memberi tumpuan kepada seekor burung yang sedang mematuk makanan.

Gunakan kesempatan yang ada di zoo bagi meningkatkan keinginan untuk mengetahui tentang alam sekitar. Ini akan membentuk sifat ingin tahu dan mendorong anak kecil berfikir, membeza dan menganalisis.

Anak kecil sukakan sesuatu perubahan.

Selalunya kita sendiri tidak dapat menjangka kepintaran dan akal anak kecil. Kita mungkin berfikir dia belum bersedia untuk tahu apakah proses yang berlaku. Sedangkan apabila kita menunjukkan bagaimana sebiji benih halus boleh berkembang menjadi sebuah pokok kecil, tentunya mereka akan teruja dan ingat dulunya hanya sebiji benih dan perlu disiram dengan air.

Mereka suka melihat perubahan atau transformasi. Tunjukkan hari siang yang cerah dan malam yang gelap. Mereka akan mengingatkan kita untuk memasang lampu.
Tunjukkan pula, bagaimana tepung yang dicampurkan dengan air dan susu menjadi kek. Wah menariknya, sudah boleh dimakan dan rasanya sedap.

Apabila anak kecil memerhatikan perubahan dari sebiji telur ayam dan keluar seekor anak ayam, pastinya perasaan ingin tahu bertambah dan anda mesti bersedia untuk menjawab lebih banyak.

Aktiviti Menanda Kalendar

Aktiviti yang amat menarik adalah berikan anak anda calendar dan minta mereka tandakan pada nombor dalam calendar. Tanda pangkah adalah hari yang sudah berlalu. Bantu juga mereka untuk memahami jam-jam yang dilalui dalam tempoh sehari.

Anak kecil yang diajar rutin hariannya juga mampu membezakan aktiviti yang perlu dilakukan. Contoh apabila bangun dari tidur, mereka minta dimandikan menunjukkan itu waktu pagi. Kemudian, meminta makanan, bermain, membantu menjemur kain dan menyapu dilaman rumah di sebelah petang.

Jika ada perayaan ingatkan mereka agar bersiap da nada aktiviti tambahan iaitu berjumpa dengan kawan-kawan baru dan menikmati makanan yang banyak dan sedap.

Dunia ini kecil bagi kanak-kanak

Bagi seorang anak kecil, ketinggian mereka terhad untuk melihat perabot yang tinggi seperti meja dan rak buku. Apa yang mereka Nampak adalah benda-benda kecil yang ada di atas lantai, di bahagian rak bawah, rak kasut yang sesuai dengan ketinggian mereka. Oleh itu amat penting memastikan tiada benda-benda kecil di atas lantai yang membahayakan anak kecil jika dimasukkan ke dalam mulut.

Jika kita perhatikan, anak kecil dekat dengan ketinggian kaki kita dan yang mengujakan mereka kenal pemilik kasut. Ini satu penemuan baru, jika kita sedang berbual-bual dengan tuan rumah dan meminta diri untuk pulang, anak kecil sudah mengangkat kasut kita dan meminta kita menyarungkan.
Wah..jangan terkejut, itu kasut milik kita apabila kita menundukkan muka ke bawah.
Anak kecil juga sukakan tempat yang kecil, selesa dan selamat. Mereka mahukan ruang sendiri. Anda boleh menyangkutkan selimut di antara dua kerusi dan biarkan mereka duduk dibawah selimut itu.

Mereka juga gemar menyorok di sebalik langsir, masuk ke dalam almari dan duduk di bawah meja. Bantu mereka berasa selesa duduk di dalam dunia kecilnya dan bekalkan alatan permainan.

Pelajari apa minat anak kecil

Bagaimana mahu melihat minat dan kecenderungan anak kecil. Biarkan mereka beraktiviti menggunakan alatan-alatan permainan seperti haiwan, anak patung, alat muzik, alat memasak, buah-buahan dan lain-lain lagi.

LIhat apakah dialog semasa mereka bermain. Apakah mereka sedang berlakon menjadi polis, doctor, tukang masak atau sebagainya.

Buku-buku bergambar juga boleh membantu melihat kecenderungan anak kecil. Mereka suka melihat haiwan, jenis kenderaan ataupun makanan.

Soalan yang banyak

Anak yang sedang melalui proses pembesaran memang suka bertanya. Kadang-kadang sukar dijawab oleh ibubapa dan jawapannya berulang-ulang. Anda mungkin sesekali merasa jemu.

Bagi membantu proses membangunkan kepintaran anak kecil, anda mesti menjawab. Mereka bertanya mengapa langit berwarna biru, mengapa bas bergerak, mengapa kucing makan ikan dan pelbagai lagi.

Bersedia dengan jawapan dan ingat anak anda seorang pintar. Selamat Mencuba.

Comments